
“Makin baca, makin terseksa rasanya..”
Itu antara yang diri ini rasa, saat membaca berita-berita yang dipaparkan. Bukan satu, malah ada yang lebih daripada satu kes yang berlaku dalam masa tak sampai seminggu.
Bagaimana agaknya pelajaran mereka? Bagaimana agaknya dengan keputusan peperiksaan mereka? Atau lebih tepat, adakah mereka masih berpeluang nak jawab peperiksaan akhir tahun di sekolah mereka sendiri?
Apa yang berlaku ini, bukanlah perkara baru. Semakin hari, semakin meningkat tahun, semakin ia bercambah. Jika tidak dicegah dan diselamatkan daripada akar umbinya (sejak usia kecil remaja), maka, jangan hairan jika jenayah sebegini makin bertambah bilangannya apabila melibatkan golongan-golongan dewasa dan belia pula.
Kita semakin berada di akhir zaman. Itu memang tidak dinafikan. Ancaman-ancaman luar dan liar juga semakin mencengkam gaya hidup dan tindakan serta pemikiran ummah dan generasi gajet kini.
Semua perkara atau kes yang berlaku ini, mampu membuka mata dan memberi 1001 pengajaran buat kita sebenarnya. Ya, memang zaman ini, zaman teknologi. Memang zaman ini, zamat kecanggihan maklumat di hujung jari.
Namun, ingat, tanpa pantauan dan kawalan, segalanya boleh musnah juga hanya disebabkan hujung jari kita ini. Saya teringat seorang guru kaunselor yang berkongsi telefon bersama anak perempuannya yang kini berusia 13 tahun. Beliau berkongsi cara beliau mengawal anak perempuannya di era kemodenan yang sememangnya menjadi kebimbangan beliau, saat pertemuan kami dalam usaha melaksanakan program Seminar Ancaman Remaja Akhir Zaman (ARAZ), baru-baru ini, di sekolahnya.
Katanya,
“Anak saya berkongsi telefon dengan saya. Memang saya hadkan penggunaan telefon bimbit dengan anak saya. Kadang, memang dia suka bandingkan diri dia dengan kawan dia. Semua kawan-kawan dia dah ada HP sendiri sebab dah besar. Dia saja yang kena berkongsi HP dengan ibunya.
Saya lebih rela didik dia awal-awal daripada sekarang, sebab dah terlalu banyak perkara yang menyeramkan berlaku. Saya tak nak disebabkan saya tersalah didik, dia jadi liar dan mula ketagih dengan HP saja. Saya ibunya dan berhak tahu dengan siapa dia mesej, telefon bagai. Saya dah beritahu dia siap-siap, boleh ada HP sendiri hanya lepas habis SPM. Itu pun kalau perangai dia baik dan mampu meyakinkan saya.”
Fuh!
Saya memang tabik spring dekat cikgu tu. Orang nampak mungkin macam tegas dan nak mengongkong, tapi, sebenarnya tidak. Ya, didik anak mengikut zamannya. Namun, didiklah juga anak dengan kawalan dan pantauan. Usia remaja mereka, jadikan mereka ‘sahabat baik’ kita.
Sebab apa cikgu tersebut amat mengawal penggunaan gajet anak perempuannya itu? Kerana hari ini, berapa ramai dah pelajar yang terjebak dengan pornografi hasil daripada telefon bimbit yang mereka genggami sepanjang masa itu? Yang ada internet, ada kamera dan pelbagai aplikasi lagi.
Ambillah iktibar bersama. Perkara ini memang wujud. Buktinya, seperti berita yang dipaparkan baru-baru ini. Umur 12 tahun dah pandai ‘merogol’ budak? Daripada mana puncanya, bila diselidik adalah daripada video-video lucah yang ada dalam simpanan telefon bimbitnya.

Dulu, saya juga pernah bergelar seorang guru. Dan saya juga pernah berhadapan dengan situasi di mana pelajar dikenakan tindakan disiplin sebab bawa gambar lucah di dalam beg sekolahnya. Lebih parah lagi, gambar-gambar tersebut menjadi koleksi peribadinya dan dikumpul dalam buku-buku miliknya.
Waktu itu, memang seakan tak percaya dan terdetik,
“Ini ke hasil pelajar yang telah aku dan guru-guru lain didik?”
Nak kata kecewa, sangat kecewa!
Nak kata sedih, memang sedih tak terkata!
Namun, di sebalik semua perkara yang berlaku tu, ada hikmah-Nya. Bukan hanya menuding jari pada mereka, sebaliknya kembali memuhasabah diri sendiri. Selidik latar belakang keluarganya dan banyak perkara lagi. Kurang kasih sayang dan perhatian keluarga sering menjadi salah satu puncanya juga.
Mereka lebih gemar melayan HP dan melepak dengan kawan-kawan sekepala apabila keluarga kurang beri kasih sayang, perhatian dan didikan. Apa yang saya tulis ni, nak mengingatkan diri saya khususnya.
Perkara sebegini mampu kita cegah dan tangani dengan kerjasama anak-anak, ibu bapa, guru dan semua pihak. Jangan tunggu bila ia sudah mula berlaku di sekeliling kita, baru kita sedar dan nak mula bertindak.
Ia perlu dimulakan daripada awal. Berikan pendedahan dan pendidikan dalam setiap aspek yang berkaitan. Langkah pencegahan, kawalan dan pantauan amat penting. Usah malu dan menganggap ianya cara didikan yang jumud. Kerana anak-anak kita, tanggungjawab kita dan amanah daripada Dia Yang Maha Esa.
Hargai, sayangi dan lindungi mereka sebaiknya.
Doa tetap doa, kerana itu senjata utama kita.
Usaha dan tindakan juga harus seiring dengannya.
Moga-moga, Allah bantu dan pelihara anak-anak generasi kita.
Yang sayang generasi kita hari ini,
Noor Syazana.
Channel Telegram Ibu Bapa & Guru :
http://bit.ly/MotivasiGuruGuruSeMalaysia
Comments