top of page

SECEBIS NOTA : KAUM LUTH MODEN

Writer's picture: Noor SyazanaNoor Syazana

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhitung buat kita, hamba-Nya. Semalam, telah berlangsung satu program anjuran Usrah Kreatif Official di Masjid Negara.



Saat ini, saya sedang tunjuk satu video berkenaan dengan konten LGBT.

Poster program

Saya selaku wakil Team Hamare Group telah mendapat jemputan untuk berkongsi serba sedikit berkaitan dengan topik Kaum Luth Moden. Bahasa mudahnya, berkenaan dengan isu gejala nafsu songsang iaitu LGBT. Alhamdulillah dapat bersama dengan adik-adik dan juga kakak-kakak yang hadir berbulatan gembira di dalam masjid. Asalnya di taman. Tapi, lokasi bertukar ‘last minute’. On tetap on!


Baiklah. Antara topik yang diberikan kepada saya adalah berkenaan dengan “Punca Seseorang Boleh Terjebak Dengan Gejala LGBT” dan juga “Cara Untuk Mencegah Dan Membantu Mereka Yang Terlibat”.


Saya pernah kongsikan di Facebook Page Hamare Group berkenaan punca tersebut. Tapi sayang, ‘posting’ tersebut telah pun dipadam oleh pihak FB dan kini, FB Page utama kami pun dah hilang daripada radar. Jadi, saya kongsikan beberapa punca atau sebab seseorang itu terjebak dengan gejala nafsu songsang ini bersama sedikit penerangan.


Antara puncanya adalah kerana :-


1. MANGSA NODA - Mereka pernah menjadi mangsa noda, sama ada dinodai oleh orang terdekat seperti kaum keluarga dan kerabat mahu pun orang asing seperti orang yang tak dikenali (kena rogol/liwat). Na’uzubillah! Memang ada antara mereka yang pernah diliwat, lalu trauma dan berubah 100% menjadi seorang Gay. Ada mangsa wanita yang pernah dirogol, lalu trauma dan benci akan lelaki! Dia mula mencintai dan ingin ‘bersama’ dengan wanita sahaja.


2. PENGARUH RAKAN SEBAYA - Ini antara yang biasa kita dengari. Pengaruh rakan sebaya antara pengaruh yang kuat juga kerana rakan-rakan memberi impak yang tinggi juga dalam hidup seseorang. Ada yang dicabar oleh kawannya, ada yang ingin mencuba sesuatu yang baru seperti yang diajar oleh kawannya dan pelbagai lagi. Kononnya, lelaki yang berpakaian wanita itu cuma nak meraikan fesyen, nak menyokong fesyen tempatan kita dan lain-lain lagi. Lebih parah, apabila rakan-rakan mengajak mereka untuk bersama dalam ‘pesta maksiat’ yang dijalankan secara tertutup mahu pun terbuka. Contohnya, pesta Lesbian. Na’uzubillah. Pesta ini pernah berlaku di negara kita, Malaysia, menjelang Hari Kebangsaan kita. (Rujuk keratan lama Akhbar Metro) Ada ayah yang pernah menangis apabila anak lelakinya tidak balik ke rumah dan ikut bersama teman-teman Mak Nyah yang lain. Anak lelakinya juga berubah menjadi seorang Mak Nyah ketika di luar, bersama dengan teman-temannya. Patutlah ketika di rumah, selalu saja ada ‘make-up’, gincu dan ‘handbag’ anak perempuannya yang asyik hilang saja. Rupanya, diambil dan disimpan oleh anak lelakinya itu.


3. PUTUS CINTA - Ya. Perkara ini juga merupakan salah satu punca kenapa anak-anak remaja kita terjebak di dalam dunia L.G.B.T. Perkara ini dikongsi oleh salah seorang remaja Gay. Sahabat lelakinya pernah putus cinta dengan perempuan, kecewa, tertekan lalu dia mula membenci insan yang bernama wanita! Dia lebih gemar untuk jatuh cinta dengan lelaki dan mula ada keinginan untuk ‘bersama’ dengan sesama jantina. Ada juga wanita yang kecewa asbab daripada putus cinta dengan teman lelakinya, lalu berubah menjadi Pengkid dan Lesbian. Na’uzubillah. Hati-hati dengan cinta. Biar cinta kita, cinta yang boleh dibawa sampai ke Syurga! Nikah adalah jalannya. Penyatuan dua jiwa yang berbeza jantina, bukan cinta sesama jantina!


4. NAFSU - Semua orang memiliki nafsu. Namun, bagaimana kita mendidik nafsu kita, itu yang membezakan kita dengan orang lain. Jika kita sentiasa ikutkan dan turutkan permintaan nafsu, maka, keharaman yang lain akan ia minta daripada kita. Nafsu takkan kenyang dan puas. Ikatlah nafsu dengan berpuasa, banyakkan ibadah, duduk di majlis ilmu, dekati orang-orang soleh, rajinkan diri baca Al-Quran dan sentiasa zikir. Sesungguhnya, mujahadah melawan nafsu itu memang payah! Amat payah! Namun, usah kita tunduk mengalah! Moga sama-sama kita dapat bertemu di dalam Syurga Allah.


5. PORNOGRAFI - Ini salah satu perkara yang perlu kita ambil serius, terutama buat ibu bapa yang anak-anak remajanya sudah miliki HP sendiri dan sudah ada akaun media sosial masing-masing. Saya pernah bertemu dengan seorang remaja Gay. Dia mengaku dan beritahu, punca dia terjebak dengan gejala Gay ini adalah selepas dia menonton video-video berunsur pornografi di laman internet. Video-video Gay. Bersepah! Na’uzubillah. Pantaulah anak-anak remaja kita. Pantau media sosial mereka juga kerana kini, segalanya berada di hujung jari! Andai kita sangka, saat kita menonton perkara-perkara yang mengundang dosa mata itu, tak ada siapa yang tahu, ketahuilah, bahawa Allah sentiasa memerhati akan hamba-Nya. Sungguh, Dia Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Pornografi kini sudah masuk ke dalam dunia ‘games online’ yang anak-anak kita main, dunia media sosial dan di dalam filem-filem serta dunia buku juga.



Terima kasih semua. Doakan semoga kami jadi wanita yang solehah dan mampu mewaqafkan diri buat ummah.

Seterusnya, “Cara Untuk Mencegah Dan Membantu Mereka Yang Terlibat” pula, sempat saya kongsikan dua perkara. Dua perkara untuk kita cegah diri daripada terlibat dengan punca-punca di atas, khususnya pornografi.


Pertama adalah dengan menanam rasa Ihsan dalam diri kita.


Biar diri kita merasa bahawa Allah sentiasa mengawasi dan memerhati tiap tingkah dan geraknya setiap masa, di mana jua, ketika dia sendirian mahupun bersama orang ramai.


“Ihsan itu adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau.” (Riwayat Muslim)


Perlaksanaan 'ihsan' dalam kehidupan sangat penting untuk pastikan diri kita terjaga dan terpelihara daripada perkara-perkara dosa dan maksiat. Bukan hanya L.G.B.T, malah, perkara-perkara dosa yang lain juga. Hubungan songsang.

Cinta sejenis.

Perlakuan L.G.B.T.

Itu bukanlah suatu nikmat.

Akan tetapi, perkara maksiat yang mampu mengundang laknat.


“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki bagi memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”(Surah al-A’raf : 81)


Keduanya adalah dengan memaksa diri untuk melakukan solat sunat Taubat, setelah diri melakukan dosa/maksiat.


Ini antara perkara yang pernah saya minta pada seorang remaja Gay yang ketagih pornografi dan ingin usaha untuk berubah.


“Pertama, akak nak kamu buat solat sunat taubat 2 rakaat, setiap kali kamu tengok video yang tak senonoh tu. Kamu tahu dan sedar, malaikat kiri kanan kita setia mencatit dosa pahala kita, Allah Maha Melihat kita, tapi, kalau kamu buat perkara tu juga, kamu kena janji untuk buat solat sunat taubat 2 rakaat. Sekali kamu tengok, WAJIB denda diri kamu, solat sunat taubat 2 rakaat. Dua kali kamu tengok, WAJIB denda diri kamu, solat sunat taubat 4 rakaat. Begitu seterusnya. Sampailah kamu rasa penat bila buat solat sunat taubat banyak kali. Maknanya, kamu dah tak tengok aktiviti yang mengundang dosa dan maksiat tu. Syaitan sangat tak suka seorang hamba tunduk pada Tuhannya.”


Untuk bacaan lebih lanjut berkenaan ini, boleh baca di link ini, Denda Sebuah Maksiat :



Semoga secebis nota perkongsian ini, dapat dimanfaatkan oleh kita bersama. Seronok dapat bersama dalam kumpulan kecil sebegini. Pelbagai soalan ditanya tanpa segan dan silu. Moga termasuk dalam mizan hasanat kita juga. Kongsikan, mudah-mudahan usaha kita ini dapat membantu mereka yang sedang mujahadah untuk istiqamah menuju Allah Yang Maha Esa.


Hidup ini singkat.

Jom sebarkan manfaat.


Wallahua’lam.

93 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


© 2023 by Success Consulting. Proudly created with Wix.com.

Thanks! Message sent.

bottom of page